PROGRAM PEMERIKSAAN KESIHATAN KEBANGSAAN
1. Penyakit-penyakit tidak berjangkit dan impak negatif yang timbul darinya membawa beban yang berat kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit-penyakit kanser, jantung, diabetis, kardiovaskular dan strok merupakan penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam. Hasil dapatan kajian Kementerian Kesihatan telah menunjukkan tren penyakit-penyakit tersebut terus meningkat dari setahun ke setahun dan jumlah mereka yang meninggal dunia akibat penyakit kronik dan penyakit-penyakit tidak berjangkit ini juga turut meningkat.
2. Sebagai usaha bagi meningkatkan keberkesanan strategi pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, Kementerian Kesihatan bermula pada 09 Jamadilakhir 1440H bersamaan 14 Februari 2019, akan melancarkan dan memperkenalkan Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (National Health Screening Programme), iaitu sebuah program pemeriksaan kesihatan di peringkat kebangsaan untuk mengesan dan mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi, agar rawatan dapat diberikan lebih awal dan lebih berkesan.
3. Pendekatan pemeriksaan kesihatan (health screening) adalah satu kaedah sangat berkesan dan kos efektif dalam menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit. Pemeriksaan kesihatan merupakan cara pengesanan awal penyakit yang dilakukan kepada orang yang tidak atau belum menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit. Penyakit yang dikesan pada peringkat awal adalah lebih mudah untuk dirawat dan dikawal serta boleh mengelakkan atau mengurangkan komplikasi penyakit sebelum ianya memudaratkan.
4. Di antara tujuan utama Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini dilaksanakan adalah untuk:
- Pencegahan atau pengesanan awal penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan kadar kolesterol tinggi;
- Pencegahan atau pengesanan awal komplikasi yang boleh terjadi akibat penyakit-penyakit tidak berjangkit sebelum terjadinya kerosakkan kepada organ-organ utama seperti jantung, buah pinggang, otak (menyebabkan strok) dan mata (menyebabkan buta);
- Pemantauan penyakit dapat dibuat dengan lebih sistematik; dan
- Pengurangan kadar kematian pra-matang iaitu kematian diantara umur 30 -70 tahun yang disebabkan oleh penyakit-penyakit tidak berjangkit.
5. Program ini dibukakan kepada:
- Warganegara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam yang berusia 40 tahun dan ke atas; dan
- Tidak mempunyai perjanjian berterusan (follow-up appointment) di pusat/klinik kesihatan atau klinik pakar di hospital bagi masaalah berkaitan dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit, termasuklah seperti penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan strok.
6. Program ini akan dikendalikan oleh jururawat-jururawat pemeriksaan kesihatan yang terlatih dan akan dijalankan di kesemua pusat kesihatan di Negara ini. Bagi Daerah Temburong, program pemeriksaan kesihatan ini akan dijalankan di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Pekan Bangar, Temburong.
7. Orang ramai yang berminat dan memenuhi syarat bolehlah mendaftar melalui salah satu dari tiga (3) cara berikut:
- Mengisi borang penyertaan di kaunter resepsi di mana-mana pusat kesihatan di Negara ini. Borang yang telah diisi hendaklah dikembalikan ke dalam Peti Pelanggan Kementerian Kesihatan yang telah disediakan; ATAU
- Memuat turun borang penyertaan dari laman sesawang www.ppkk.gov.bn dan menghantar borang yang telah lengkap diisi tersebut melalui emel ke health.screening@moh.gov.bn; ATAU
- Mendaftar secara on-line melalui laman sesawang www.ppkk.gov.bn menggunakan akaun E-Darussalam (jika ada).
8. Kementerian Kesihatan ingin menekankan bahawa penyakit-penyakit tidak berjangkit boleh dicegah dan dikawal dengan membudayakan amalan cara hidup dan permakanan yang sihat dalam kehidupan seharian serta menjalani pemeriksaan kesihatan. Kesedaran dan tindakan awal bagi mempertahankan kesihatan serta mengelakkan dari perkara-perkara yang boleh memudaratkan kesihatan perlu diberikan komitmen dan disiplin yang berterusan oleh setiap individu, ahli keluarga, masyarakat setempat dan seluruh rakyat dan penduduk di Negara ini.
9. Untuk maklumat lanjut mengenai Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan ini dan cara-cara untuk menyetainya, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ppkk.gov.bn atau pun laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn, atau menghubungi Talian Darussalam 123.
-TAMAT-
Rujukan : KK/PR/3
Tarikh : 09 Jamadilakhir 1440H / 14 Februari 2019