˄

29-Oct-2018:World Stroke Day 2018


http://www.ppkk.gov.bn/PublishingImages/News/stroke.jpg

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA DR HAJI MOHAMMAD ISHAM BIN HAJI JAAFAR, MENTERI KESIHATAN

SEMPENA HARI STROK SEDUNIA 2018

 

TEMA:  

BANGKIT SEMULA SETELAH STROK / "UP AGAIN AFTER STROKE"

 

 

1.                 Penyakit Strok atau Angin Ahmar adalah sejenis penyakit tidak berjangkit yang boleh dihidapi oleh sesiapa pun, ahli keluarga kita, sahabat kita, rakan sekerja kita atau seseorang yang kita kenali. Setiap tahun, seluruh negara di dunia termasuk Negara Brunei Darussalam meneruskan usahanya dan perjuangannya dalam mengukuhkan tindakan-tindakan pencegahan, rawatan dan pengawalan Penyakit Strok atau Angin Ahmar serta dalam mengurangkan beban penyakit berkenaan. Bagi memperingati perjuangan tersebut, hari strok sedunia di sambut pada setiap 29 Oktober dan pada tahun ini, tema Hari Strok Sedunia ialah, "Bangkit Semula Setelah Strok."

 

2.                 Serangan strok boleh berlaku secara mengejut dan mengubah hidup kita dalam sekelip mata. Apabila aliran darah ke otak terjejas, kerosakan kepada tisu otak boleh menyebabkan perubahan kekal seperti kelemahan pada lengan atau kaki, hilang keseimbangan badan, kesukaran dalam pertuturan, masalah ingatan (demensia) yang menyebabkan ketidakupayaan, atau dalam kes yang lebih serius ianya boleh membawa kepada kematian.  

 

3.                 Di seluruh dunia, strok menyebabkan satu dalam sepuluh (1 dalam 10) jumlah kematian dan ianya adalah punca kematian yang kedua tertinggi di kalangan orang yang berumur lebih dari 60 tahun. Di Negara Brunei Darussalam pula, penyakit strok adalah penyebab kematian yang keempat tertinggi, dengan kira-kira sebanyak 143 kematian pada tahun 2017 dan kebanyakkan dari jumlah tersebut adalah dikalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Manakala, lebih dari 300 kes strok berlaku dalam setahun di Negara ini. Ini bermakna sebanyak 300 orang dan keluarga mereka akan terganggu dan terjejas oleh strok. Tambahan lagi, kira-kira 78% daripada penghidap strok ini adalah dari kaum lelaki. 

 

4.                 Apa yang turut signifikan ialah beban ketidakupayaan (disability) yang disebabkan oleh serangan strok yang memberi impak bukan sahaja kepada yang menghidapinya, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat yang terbabit. Menurut Pertubuhan Strok Sedunia (W.S.O), 80 juta orang di seluruh dunia adalah mangsa strok yang terselamat (survivors) dan 50 juta orang dari jumlah tersebut kini menempuh hidup dengan ketidakupayaan ataupun disability yang kekal. Bahkan, strok adalah penyebab utama ketidakupayaan di seluruh dunia. Oleh yang demikian, saya menggesa kita semua untuk memberi harapan dan sokongan yang berterusan kepada yang terjejas termasuk ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan dalam penjagaan dan pemulihan yang terbaik kepada mangsa strok, termasuklah dalam aspek pengintegrasian semula ke dalam masyarakat seperti kembali ke tempat kerja atau mengamalkan aktiviti harian mereka tanpa mengira sebarang ketidakupayaan. 

 

5.                 Pada hakikatnya, strok boleh dicegah. Faktor-faktor risiko strok seperti tekanan darah yang tidak terkawal, kolesterol tinggi, diabetis, obesiti dan merokok semuanya boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjalani rawatan yang berkesan. Manakala, Menangkap atau menyedari dengan pantas tanda-tanda strok serta bertindak terus menghadiri ke Jabatan Kecemasan di mana-mana hospital boleh membuat perbezaan yang besar dari segi pemulihan dan kesan strok kepada mangsa. Maka, adalah penting bagi kita semua mengenali tanda-tanda strok dengan PANTAS (atau BE FAST)

 

    • PERGERAKKAN: Tiba-tiba hilang keseimbangan atau koordinasi badan.

      (BALANCE: Sudden loss of balance or coordination)

       
    • ADA KESULITAN MELIHAT: Perubahan penglihatan secara tiba-tiba, seperti penglihatan berganda atau buta pada sebelah mata.

      (EYE: Double vision or loss of vision in one eye)

       
    • NAMPAK WAJAH MENJEBEK: Menjebek atau rasa kebas pada sebelah muka yang menyebabkan senyuman tidak seimbang.

      (FACE: Face drooping or weakness on one side)

       
    • TANGAN KEBAS: Kelemahan pada satu tangan, dan seperti tidak dapat mengangkat kedua-dua tangan.

      (ARM: Sudden weakness of an arm, and as if having difficulty to raise both arms)

       
    • AMAT SUKAR BERCAKAP: Ucapan tidak jelas atau ucapan yang sukar untuk difahami.

      (SPEECH: Trouble speaking or understanding)

       
    • SEGERA DAPATKAN BANTUAN: Dapatkan rawatan dengan segera di Jabatan Kecemasan dengan menghubungi 991, walaupun tanda-tanda seolah-olah hilang.

      (TIME: Act quickly to go to the Emergency Department by calling 991, even if the signs appear to cease) 

       

      Dengan pemberian rawatan seawal-awalnya dan mendapatkan jenis penjagaan yang bersesuaian, kita mampu mengurangkan risiko strok.  Walau bagaimanpun, bagi mereka yang sudah terjejas oleh strok, dengan penjagaan yang betul - digabung dengan keinginan yang kuat untuk bertahan dan untuk bangkit semula – ianya boleh memberikan perbezaan yang besar pada kesihatan keseluruhan dan sememangnya tidaklah mustahil bagi mereka untuk #BangkitSemulaSetelahStrok.

       

6.                 Pada Hari Strok Sedunia ini, marilah kita sama-sama memberi tumpuan kepada perkara yang menyatukan para mangsa dan penjaga mangsa strok, iaitu daya tahan, keupayaan dan keazaman mereka yang kuat untuk meneruskan perjalanan ke arah pemulihan demi menuju kehidupan harian yang penuh makna selepas mengalami strok. Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan lain seperti Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre, Pantai Jerudong Specialist Centre pula akan terus memberi tumpuan kepada strategi-strategi untuk mencegah, merawat dan mengawal strok. Dengan itu, kami meneguhkan komitmen kami untuk terus mewujudkan kesedaran mengenai penyakit strok bagi mengurangkan bebanan penyakit ini. Tidak dinafikan bahawa cara yang paling berkesan untuk menangani strok adalah dengan mengamalkan dan memperlakukan gaya hidup yang sihat, di samping mendapatkan rawatan tepat pada masanya. Pengesanan dan rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa. Akhirnya, marilah kita sama-sama menjadikan kehidupan orang-orang di sekeliling kita khususnya yang terjejas dengan strok lebih baik dan berganding bahu dalam membantu pesakit strok #BangkitSemulaSetelahStrok.

 

 

- TAMAT -


Attachments
Close