JERUDONG, Khamis, 7 Januari. - Majlis Ilmu menjadi mercu tanda kepimpinan intelektualisme Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, terutama kedudukan baginda sebagai pemimpin Islam yang amat menitikberatkan kepentingan ilmu untuk semua lapisan masyarakat dan sebagai wadah menghidangkan ilmu juga maklumat yang berguna kepada rakyat dan penduduk di negara ini.
Pada lazimnya, acara-acara utama Majlis Ilmu diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dimulai dengan acara Majlis Perasmian dan Ceramah Khas, kemudian diikuti dengan Majlis Forum Perdana, Ceramah Perdana, Seminar dan Pameran Majlis Ilmu yang turut dihadiri oleh para jemputan atau panel-panel penceramah dari luar negara.
Sambutan Majlis Ilmu tahun ini, dibuat berlainan daripada format kelazimannya, namun format khas ini, tetap memberikan 'audiences coverage' yang luas bagi rakyat di dalam dan luar negara, antaranya Rancangan Rampai Pagi Edisi Khas, Rancangan An-Nur, Khutbah Jumaat dengan tajuk berkaitan tema, Nadwah Khas, Ceramah-ceramah sampingan yang dikelola bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kesihatan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Berikutan itu, Forum Syukuri Ni'mat Sihat dengan tema 'Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat' berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, di sini.
Antara yang hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari selaku Ketua Kampung Limau Manis.
Ahli forum terdiri daripada Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar selaku Ahli Panel; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif selaku Ahli Panel.
Sementara Penolong Rektor (Perancangan dan Perkhidmatan) UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad selaku moderator forum berkenaan.
Forum ini adalah salah satu acara sampingan / sektoral bagi Majlis Ilmu 2020 Negara Brunei Darussalam yang akan dilaratkan lagi ke Masjid Jamalul Alam Kuala Belait, pada 16 Januari 2020, jam 9.00 pagi.
Semoga acara-acara yang telah dan akan diadakan ini diharap dapat mencapai objektif Majlis Ilmu, iaitu hidangan ilmu yang mampu menterjemah dan menjelaskan peranan juga kesan kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerapkan nilai-nilai utama yang berkaitan dengan kepentingan kesihatan dan kebersihan, termasuklah kesannya kepada pengukuhan kerohanian juga keimanan dalam agenda pembangunan negara.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.
Source: http://www.majlisilmu.gov.bn/Lists/Berita/ItemDisplayForm.aspx?ID=43&ContentTypeId=0x01005F9FDE5C68213E488B0D5A9C64D9622D