˄

SOALAN-SOALAN LAZIM

PEMERIKSAAN KANSER KOLOREKTAL



Jika saya tidak memenuhi kriteria untuk program pemeriksaan kanser kolorektal, adakah saya boleh menyertai program pemeriksaan yang lain?

Jika awda tidak memenuhi kriteria kelayakan untuk program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, awda masih boleh menyertai program-program pemeriksaan yang lain seperti program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, program pemeriksaan kanser payudara dan program pemeriksaan kanser serviks jika awda memenuhi syarat kelayakan bagi program-program pemeriksaan tersebut.

Nota: Bagi pemeriksaan kanser kolorektal, had umur adalah 75 tahun kecuali jika dibenarkan berdasarkan penilaian klinikal.


Apa yang perlu saya lakukan untuk Ujian Immunokimia Najis (FIT) bagi pemeriksaan kanser kolorektal?

Awda perlu mengambil contoh najis dan masukkannya ke dalam bekas simpanan najis. Sila pastikan penutup bekas simpanan ditutup dengan rapi. Tulis nama, nombor kad pengenalan, tarikh dan masa pengambilan contoh najis di atas label dengan jelas. Letakkan bekas simpanan najis ke dalam beg plastik specimen yang berlabel 'biohazard'. Tutup kemas beg plastik tersebut dan sila hantar sampel tersebut pada hari yang sama ke kaunter perkhidmatan phlebotomi di pusat kesihatan yang ditetapkan. Sampel kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya.

Peringatan:

  • Awda boleh makan seperti biasa (tidak perlu berpuasa) dan boleh meneruskan pengambilan ubat (jika perlu)
  • Jika awda mengalami pendarahan kerana buasir, kencing berdarah atau datang haid, pengambilan contoh najis hendaklah ditangguhkan sehingga pendarahan berhenti atau berakhir.

  • Adakah terdapat risiko kesihatan menggunakan alat FIT?

    Tiada risiko untuk kesihatan awda dari menggunakan alat FIT. Jika keputusan FIT awda adalah positif, awda akan disarankan untuk menjalani ujian lanjut, seperti kolonoskopi. Prosedur ini membawa risiko kecil di mana ia boleh merosakkan usus awda akan tetapi perkara ini sangat jarang berlaku.


    Bagaimanakah saya boleh mengetahui keputusan Pemeriksaan Kanser Kolorektal saya?

    Keputusan pemeriksaan kanser kolorektal awda akan dijelaskan oleh jururawat pemeriksaan kesihatan semasa perjanjian susulan awda.

    1. Jika keputusan FIT awda adalah negatif, awda akan dijemput semula untuk pemeriksaan FIT dalam tempoh 2 tahun akan datang.
    2. Jika keputusan FIT awda adalah positif, awda akan dirujuk ke Klinik Gastroenterologi oleh Jururawat Pemeriksaan Kesihatan bagi pemeriksaan selanjutnya.

    Sekiranya awda juga menyertai Pemeriksaan Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular, keputusan ujian darah awda juga akan diterangkan.


    Apakah tujuan Ujian Immunokimia Najis (FIT) itu?

    Tujuan Ujian Immunokimia Najis (FIT) adalah untuk mengesan darah dalam sampel najis. Jika darah dikesan, keputusan awda adalah positif. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa awda mempunyai kanser kolorektal. Ini mungkin disebabkan oleh keadaan lain seperti buasir, polip, atau keradangan usus. Walau bagaimanapun, semua keputusan FIT yang positif masih perlu disiasat. Awda akan dirujuk ke Klinik Gastroenterologi untuk pemeriksaan lanjut, biasanya kolonoskopi, untuk mengetahui puncanya.

    Sebaliknya, jika keputusan FIT awda adalah negatif, awda tidak perlu untuk menjalani siasatan lanjut. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa awda tidak mempunyai atau tidak boleh mendapat kanser kolorektal kerana kadang kalanya kanser kolorektal tidak berdarah atau hanya berdarah sekali-sekala. Di Negara Brunei Darussalam, pemeriksaan FIT disarankan setiap dua tahun jika keputusan FIT awda adalah negatif.

    Kadang-kadang keputusan FIT boleh dilaporkan sebagai tidak sah atau 'invalid' dan ini bermaksud awda perlu menghantar satu lagi sampel najis untuk diuji semula.


    Apa maksudnya jika keputusan FIT saya adalah positif?

    Jika keputusan FIT awda adalah positif, awda akan dinasihatkan untuk menjalani ujian lanjut, biasanya kolonoskopi. Ini adalah kerana:

  • FIT tidak dapat membezakan di antara pendarahan akibat kanser kolorektal atau dari sumber yang lain (Contohnya: Pendarahan dari buasir).
  • Keputusan FIT yang positif boleh bererti awda mempunyai kanser kolorektal, walaupun tidak ada ahli keluarga lain yang pernah menghidap kanser ini.
  • Keputusan FIT yang positif boleh bermaksud bahawa awda mempunyai kanser kolorektal walaupun awda merasa sihat.
  • Walaupun keputusan FIT awda yang sebelum ini adalah negatif, awda masih boleh mendapat keputusan positif bagi FIT awda yang menandakan adanya perubahan di dalam usus awda dan awda perlu menjalani kolonoskopi untuk mengetahui punca pendarahan itu.

  • Jururawat Pemeriksaan Kesihatan akan menjelaskan keputusan awda pada perjanjian susulan dan kemudian dia akan merujuk awda ke Klinik Gastroenterologi bagi konsultasi mengenai penilaian selanjutnya, biasanya kolonoskopi. Kolonoskopi adalah satu prosedur di mana satu tiub panjang yang terdapat kamera kecil di hujungnya akan dimasukkan ke usus melalui dubur dengan tujuan untuk memeriksa usus awda bagi sebarang perubahan atau kelainan. Prosedur ini akan dilakukan setelah awda diberi ubat penenang (sedatif).


    Berapakah ketepatan keputusan FIT itu?

    Tidak ada terdapat kaedah pemeriksaan kesihatan yang 100% tepat. Diagnosis bagi pra-kanser polip atau kanser kolorektal masih boleh terlepas jika pendarahan tidak terjadi ketika ujian tersebut dilakukan. Pemeriksaan yang kerap akan memastikan peluang yang terbaik bagi kanser kolorektal dikesan pada peringkat awal di mana rawatan yang diberikan akan lebih berkesan.


    Adakah prosedur kolonoskopi itu selamat?

    Kolonoskopi pada lazimnya merupakan satu prosedur yang selamat. Walau bagaimanapun, kadang-kadang komplikasi boleh timbul seperti:

  • Pening, mual atau muntah
  • Sakit kepala
  • Reaksi/Tindak balas terhadap sedatif
  • Pendarahan
  • Perforasi - sangat jarang (kurang daripada 1 dalam 1000 kes)