˄

SOALAN-SOALAN LAZIM

PEMERIKSAAN KANSER SERVIKS



Jika saya tidak memenuhi kriteria untuk program pemeriksaan kanser serviks, adakah saya masih boleh menyertai program pemeriksaan yang lain?

Jika dayang tidak memenuhi kriteria kelayakan untuk program pemeriksaan kanser serviks, dayang masih boleh menyertai program-program pemeriksaan yang lain seperti program pemeriksaan faktor risiko penyakit kardiovaskular, program pemeriksaan kanser kolorektal dan program pemeriksaan kanser payudara jika awda memenuhi syarat kelayakan bagi program-program pemeriksaan tersebut.


Bilakah waktu yang sesuai menjalani pemeriksaan Pap Smear?

Waktu yang paling sesuai ialah 14 hari selepas hari pertama datang haid.


Apakah persediaan yang saya perlu lakukan sebelum menjalani pemeriksaan Pap Smear?

48 jam sebelum menjalani pemeriksaan Pap Smear, dayang disarankan agar:

  • Tidak melakukan sebarang hubungan seksual
  • Tidak melakukan sebarang hubungan seksual Elakkan dari melakukan pancuran ('douching') iaitu membersihkan bahagian faraj dengan air atau cecair lain
  • Tidak memakai produk pencuci wanita atau tampon
  • Tidak menggunakan ubat ke dalam saluran faraj

  • Apa yang akan berlaku semasa pemeriksaan Pap Smear?

    Dayang akan berjumpa dengan seorang jururawat wanita di Pusat Kesihatan atau Klinik Kesihatan Wanita. Dayang akan diminta untuk menanggalkan pakaian dari paras pinggang ke bawah dan kemudian berbaring di katil pemeriksaan dengan kaki dayang terbuka. Jururawat wanita itu akan memasukkan spekulum dahulu ke dalam faraj supaya mudah untuk melihat serviks. Berus serviks akan digunakan untuk mengambil contoh sel dari serviks dayang. Sel-sel yang diperolehi dari berus serviks itu akan dihantar ke makmal untuk dianalisa. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit.


    Apakah risiko yang berkaitan dengan pemeriksaan Pap Smear?

    Pemeriksaan Pap Smear ini adalah cara yang selamat untuk membuat pemeriksaan kanser serviks. Pemeriksaan ini mungkin memberi ketidakselesaan bagi sesetengah wanita semasa spekulum dimasukkan. Jika dayang tenang dan ikut arahan jururawat, prosedur ini akan dapat dijalankan dengan lebih mudah.

    Selepas prosedur ini, sesetengah wanita mungkin akan mengalami pendarahan ringan ('spotting') selama beberapa hari. Dayang tidak perlu risau kerana ini adalah normal.

    Tiada ujian pemeriksaan kesihatan yang dapat mengesan ke semua penyakit dengan tepat 100%. Masih ada kemungkinan pemeriksaan ini tidak dapat mengesan penyakit dan keputusan menunjukkan negatif palsu. Keputusan negatif palsu bermaksud keputusan ujian adalah normal tetapi sebenarnya dayang mempunyai penyakit. Kanser serviks mengambil masa 10 ke 20 tahun untuk berkembang, sel-sel yang tidak normal itu akan dapat dikesan semasa pemeriksaan seterusnya.


    Bagaimanakah saya boleh mengetahui keputusan pemeriksaan Pap Smear saya?

    Dayang akan diberi perjanjian 2 minggu selepas pemeriksaan Pap Smear dayang untuk mendapatkan keputusan pemeriksaan dayang.

  • Jika keputusan pemeriksaan adalah normal, dayang akan dijemput untuk menjalani pemeriksaan Pap Smear dalam masa 3 tahun lagi.
  • Jika keputusan pemeriksaan adalah tidak normal, dayang akan diberikan perjanjian susulan dan/atau dirujuk untuk menjalani pemeriksaan lanjut.